Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Hari ini Ramadhan sudah pun masuk hari ke-tujuh. Bagaimanakah amalan anda pada hari ini?Apakah yang telah dibuat dan dicapai pada hari ini? Tibanya bulan Ramadhan pada kali ini, terfikir saya untuk berkongsi tentang muhasabah Ramadhan yang dapat dibuat. Lalu terlintas saya 2 perkara yang mungkin dapat dikongsi. Artikel pada hari ini lebih kepada diri sendiri.Cuba bermusahabah tentang apa yang dapat dibuat sempena bulan yang berkat ini.
1. Landasan Menjadi Insan Hebat
Teringat saya sebuah kata-kata yang menarik oleh Ustaz Hasrizal,”Syurga adalah untuk insan yang hebat. Jadi, kita tidak punya pilihan melainkan menjadi insan yang hebat untuk ke sana.”
Jika difikirkan semua memang ada benarnya, syurga memang tempat untuk orang yang hebat. Apabila diperhatikan dan dimunasabahkan diri ini, rasanya layakkah kita berada di syurga? Apabila cuba menghitung amalan pahala dan dosa yang dibuat, pasti diri ini berasa malu dengan apa yang telah diberikan dalam sekelumit hidup ini seolah neraka tempatnya.
Tetapi diri sedar kita juga tidak mampu untuk menahan azab api neraka. Kerana azabnya sungguh menyakitkan.Cukuplah sekadar terkena percikan api di dunia pun sudah terasa panasnya, ini pula api neraka yang berkali ganda panasnya. Lebih-lebih lagi kali ini bukan sekadar percikan, tetapi lebih daripada itu. Menyedari hakikat ini, jelas kita tidak mampu untuk menahan seksaaan api neraka. Secara logiknya syurga adalah pilihan terbaik walaupun tahu kita tidak layak kerana kehebatannya. Jadi kita tidak punyai pilihan lain. Kita pasti tidak mampu untuk menahan seksan api neraka yang maha dahsyat, tetapi kita mempunyai pilihan untuk mengubahnya. Iaitu menjadi insan yang hebat.
Persoalannya bagaimanakah menjadi insan yang hebat? Ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi janganlah kita lupa tuhan juga Maha Pemurah. DiberiNya bulan Ramadahan. Landasan untuk menjadi insan hebat adalah bermula dengan bulan Ramadhan.
Ramadhan kali ini adalah landasan terbaik untuk melakukannya.Pentas yang terbaik kerana di dalamnya penuh dengan keberkatan. Pahala puasa yang menjadi rahsia Allah. Malam Lailatul Qadar yang menyerupai ibadah selama 1000 bulan. Bukankah itu hebat? Kita mempunyai peluang untuk berubah!
2. Adakah Kita Dapat Berjumpa Lagi Ramadhan?
Bermuhasabah tentang adakah Ramadhan pada kali ini merupakan yang terakhir? Kita tidak tahu apa yang akan berlaku.Cukuplah pelbagai peristiwa sebagai pengajaran tentang qada dan qadar Allah yang dapat dijadikan sebagai renungan. Walaupun pada logik akal menyatakan bahawa mungkin kita berpeluang berjumpa dengan Ramadhan akan datang, kerana berdasarkan umur yang masih belum menjengah setengah abad, tetap harus kita ingat masih ada kemungkinan juga untuk kita tidak berjumpanya lagi.
Kita menghabiskan Ramadhan kali ini begitu sahaja kerana mungkin dalam diri ini terbitnya sedikit perasaan angkuh kerana kita merasakan hidup kita masih jauh lagi perjalanannya. Kita seolah yakin kita dapat berjumpa sekurang-kurangnya satu lagi Ramadhan.
Tetapi pernahkah kita terfikir pohon muda yang telah jatuh awal. Pernahkan kita terfikir bahawa ada kawan kita yang bersama pada Ramadhan lalu, kini sudah pun pergi menghadapNya. Kebarangkalian kecil yang kita tidak langsung terfikir terjadi. Kita seolah yakin berjumpanya untuk tempoh lebih lama, tetapi segalanya lesap di takdirNya.
Pernahkah kita mendengar atau mendapat tahu kematian sahabat atau sesama muslim yang meninggal sehari sebelum tibanya Ramadhan. Seakan dekat sahaja Ramadhan dengannya tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Tiada Ramadhan buatnya.
Nyata, kita tidak tahu adakah kita dapat berjumpa dengan Ramadhan akan datang ataupun tidak kerana di luar kemampuan kita. Kita hanyalah sekadar hambaNYa yang tidak mampu pun mengatur sendiri kehidupan.
Walau bagaimanapun, kita mempunyai saat ini,iaitu Ramadhan pada kali ini untuk berubah.Untuk melakukan sesuatu sebelum kematian itu datang. Tidak ada aktiviti yang lebih baik selain menghidupkan Ramadhan kali ini.
Kesimpulan
Lantas, pada Ramadhan kali ini saya menjemput semua supaya mengimarahkan masjid dan membuat banyak amal kebajikan. Gunakan peluang sebaiknya kerana kita mungkin tidak akan berjumpa lagi. Seperti nyanyian Mambai dan Raihan, ‘Ku Harapkan Ramadhan Kali Ini Penuh Makna!
Salam Ramadhan
Mohon ‘Share’ jika artikel ini bermanfaat






